Ibu Bapa Inilah Yang Anda Wajar Lakukan Pada Duit Raya Anak

Dalam kemeriahan menyambut hari raya yang masih dirasai, sudah pasti ramai di antara anak-anak di luar sana sudah banyak menerima duit raya, tanda ingatan juga hadiah dari sanak saudara, mahu pun mereka yang telah dewasa.

Walaupun kita tidaklah diwajibkan untuk memberi duit raya, namun ia sudah menjadi kebiasaan untuk memberi khususnya kepada kanak-kanak supaya mereka lebih gembira dan merasai juga kemenangan dalam berhadapan bulan Ramadan yang lalu.

Namun begitu, sebagai ibu bapa, mungkin akan memainkan peranan dalam ‘memegang’ duit raya anak-anak, dan menerusi perkongsian dari Dr Khairul Hafidz Alkhair ini, cara yang dilakukan dalam menyimpan duit raya anak-anak sedikit sebanyak boleh digunakan oleh mereka kelak.

Mari kita ikuti perkongsian darinya.

Duit Raya Anak

Menjadi mak dan ayah ni, antara perkara yang seronok selain dari berjumpa sanak saudara dan mengeratkan silaturrahim ni adalah melihat anak-anak kita mendapat duit raya daripada saudara dan taulan. Persolannya, apakah yang terbaik yang boleh kita mak dan ayah lakukan dengan duit raya anak kita?

Bagi saya dan isteri, apa yang kami buat adalah segala duit raya anak kami simpan di bank. Dan pilihan kami adalah Tabung Haji. Banyak kebaikan menyimpan wang di Tabung Haji, selain dari menyimpan, kita dapat mendaftar anak untuk Haji. Nak dapatkan tempat untuk Haji ni bukan mudah, listnya panjang, dengan mendaftar anak awal, InsyaAllah anak boleh dapatkan tempat awal untuk Haji mereka.

List untuk Nadhra dan Safiya masih lagi dalam 40 – 50 tahun! Bayangkan kalau lambat mendaftar, bila nak dapatkan tempat untuk Haji? Sebelum Nadhra (anak pertama kami) lahir, kami dah pasang dah niat, setiap bulan kami masukkan wang kami ke dalam akaun mereka. Jadi, bukan duit raya anak sahaja kami masukkan, tapi duit kami juga.

Bayangkan jika setiap bulan kami masukkan sebagai contoh RM50 sebulan, setahun dalam RM600. Jika 10 tahun, sudah RM6000, jika 20 tahun sudah RM12,000. (Ini kalau kita tetap masukkan RM50 sebulan, selalunya dengan rezeki yang makin bertambah, lagi banyak simpanan per bulan kita akan masukkan.)

Tambah lagi duit raya setiap tahun, mungkin setelah 20 tahun wang mereka sudah mencapai RM15,000. Tuan-tuan dan puan-puan, setelah anak kita berumur 20 tahun, atas usaha kita yang sedikit ini, mereka telah pun mempunyai simpanan masa depan mereka sebanyak RM15,000.

Duit bukan sahaja boleh gunakan untuk simpanan Haji (untuk syarat Haji dah lama lepas dah), kita juga boleh gunakan untuk pembiayaan pelajaran di universiti jika diperlukan. Kena ingat, zaman mereka akan semakin mencabar, biasiswa pun tak mudah nak dapat, mana nak cari wang untuk pelajaran mereka? Dan simpanan ini akan bantu sedikit sebanyak.

Benar, apalah sangat nilai RM15,000 ni, mungkin setelah 20 tahun nilai RM15,000 sangatlah kecil. Tapi kena ingat, yang paling penting adalah untuk kita terapkan nilai untuk menyimpan dan berjimat kepada anak-anak kita.

Biar mereka tahu usaha kita untuk menyimpan buat mereka, galakkan mereka untuk menabung dan jangan sesekali gunakan wang simpanan mereka walau apa jua keadaan sekalipun. Ini akan buatkan mereka menghargai usaha kita dan secara tak langsung menyemai sifat menyimpan dan tak suka membazir.

Dulu waktu kecil saya tak dapat peluang begini, sebab itu sekarang saya mahu anak-anak kami merasainya. Sebagai ibu bapa, selain dari menurunkan ilmu dan membentuk nilai untuk anak, penting juga tinggalkan sedikit harta buat mereka tetapi dengan cara yang betul.

Jadi, janganlah guna duit raya anak untuk beli itu dan ini, walaupun sedikit, terus simpan untuk mereka. Apalagi kalau kita pula yang guna duit mereka untuk beli keperluan yang lain..

Menyimpanlah..
Demi untuk masa depan anak yang cerah.

Comments

comments

Reply