Petua Atasi Jangkitan Penyakit Di Daycare

Kebanyakan anak kecil akan mudah jatuh sakit apabila mereka mula masuk daycare atau pusat penjagaan kanak-kanak. Di sana, ramai kanak-kanak bersentuhan antara satu sama lain, dan memudahkan jangkitan penyakit berlaku. Jangkitan penyakit di daycare adalah antara penyebab kerisauan di kalangan ibu bapa, termasuklah saya.

Jadi, di sini, saya ingin berkongsikan petua tradisi (yang sebenarnya satu rahsia!) yang diamalkan oleh nenek saya. Dia mula berkongsikan resipi rahsia ini dengan saya apabila anak saya masuk daycare, dan ketika dia telah jatuh sakit.

Selesema adalah antara jangkitan penyakit yang selalu berlaku di nurseri atau pusat penjagaan kanak-kanak. Selalunya, selesema sebegini tidak begitu serius. Jadi, ibu ayah pun tidak langsung terfikir untuk berhenti menghantar anak mereka ke daycare.

Apabila ia tidak melibatkan demam, pusat penjagaan juga tidak menghalang anak kecil yang selesema ini daripada hadir ke daycare mereka. Tapi, hanya ibu bapa yang mempunyai bayi atau anak kecil dengan selesema sahaja yang tahu susahnya untuk menidurkan anak-anak yang tersumbat hidungnya pada waktu malam!

Ibu ayah tidak perlu risau. Terkena jangkitan penyakit ketika di nurseri kanak-kanak bukanlah satu perkara yang buruk. Kajian mendapati yang kanak-kanak yang terkena jangkitan akan dapat membina sistem imun badan yang lebih kuat di kemudian hari.

Dan, pada waktu inilah remedi tradisi dapat membantu. Disebabkan ia dibuat daripada bahan-bahan yang kita selalu guna, maka anak kecil akan lebih mudah menerimanya.

Dan yang paling penting, tidak seperti ubat batuk yang boleh menyebabkan si kecil anda selalu rasa mengantuk, petua nenek saya ini tidak akan membuatkan anak kecil anda mamai.

Tapi ingat ya, kalau selesema anak anda diiringi dengan demam, lebih baik anda bawa berjumpa doktor terlebih dahulu. Petua kesihatan yang ingin saya kongsikan di sini sangatlah mudah; anda pasti terkejut!

Kita hanya memerlukan dua bahan, iaitu serbuk kunyit dan gula melaka. Dan, oleh kerana ia ada rasa manis, anak anda juga pasti suka untuk memakannya.

Cara-cara:

1. Parut lebih kurang 8 gram (atau 2 sudu) gula melaka. Tujuannya adalah supaya ia kekal lembut dan boleh diuli dalam bentuk bebola.

2. Tambah secubit kecil serbuk kunyit dan campurkannya dengan serbuk gula tadi (lebih kurang 1/2 gram serbuk kunyit).

3. Gaul dua bahan ini hingga sebati dan uli sehingga ia menjadi bentuk pil ubat. Jika anak anda masih kecil, anda boleh mengulinya kepada beberapa pil yang agak kecil.

Berikan satu pil semulajadi dan organik ini kepada anak anda setiap pagi sebelum makan dan satu lagi sebelum makan malam.

Serbuk kunyit mempunyai elemen yang dapat mengurangkan simptom hidung tersumbat. Dalam masa 2 ke 3 hari, anda akan dapat melihat pengurangan selesemanya.

Jika anda tiada gula melaka di rumah, tak perlu risau. Anda juga boleh menggantikannya dengan madu. Tapi berhati-hati ya!

Madu TIDAK sesuai untuk bayi. Jadi, jangan gunakan bahan gantian ini jika si kecil anda berusia setahun ke bawah.

Langkah berjaga-jaga

Ini adalah satu petua tradisional. Bahan-bahan yang digunakan dibeli dari kedai dan bukannya dieksperimen dalam lab. Sebagai langkah berjaga-jaga, elakkan daripada mencubanya pada bayi anda yang baru lahir dan yang berusia setahun ke bawah.

Untuk anak yang lebih besar pula, pastikan anda memerhatikan tanda-tanda alahan – jika ada, berhenti segera dan dapatkan pemeriksaan doktor!

Cara mengelakkan jangkitan di daycare:

Sama ada anak kecil anda mudah jatuh sakit atau tidak ketika di daycare, ia bergantung kepada kekuatan sistem imun badan anak anda.

Ada beberapa langkah yang boleh anda cuba untuk memastikannya tidak mudah jatuh sakit atau terkena jangkitan ketika di daycare:

  • Biarkan dia banyak bermain di luar. Pendedahan pada tanah dan udara segar dapat membina imun anak anda. Jadi, biarkan dia bermain di luar sekerap mungkin.
  • Kurangkan penggunaan hand sanitizer. Hand sanitizer berfungsi untuk membunuh 99% bakteria pada tangan anak anda, termasuklah bakteria yang baik! Jadi, ini akan melemahkan imun badan anak anda. Basuh tangan dengan air sahaja sudah mencukupi.
  • Makanan yang kaya dengan protein. Makanan sarapan pagi yang kaya dengan protein juga baik untuk sistem imun badan anak anda. Brokoli, kacang dal, tofu, soya adalah antara sayuran berprotein yang bagus. Gunakan juga daging segar berbanding yang diproses. Jangan dilupakan juga makanan dairy (berasaskan susu).
  • Imunisasi. Suntikan selesema akan mengurangkan selesema anak anda. Jadi, jangan lupa untuk mengimunisasi anak anda dengan vaksin selesema.
  • Ibu-ibu semua, anak anda sedang membina imun badannya, jadi teruskan menghantar si kecil anda ke daycare, walaupun ia bermakna yang dia terdedah kepada jangkitan penyakit.

Kajian mendapati kanak-kanak yang pergi ke daycare cenderung mempunyai banyak kemahiran berbanding mereka yang hanya terperap di rumah.

Saya berharap yang petua nenek saya ini dapat membantu anda mengawal simptom selesema anak anda itu. Selamat mencuba!

Kredit: The Asian Parent

Comments

comments

Reply