Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang Alahan Susu Dan Simptomnya Kepada Bayi Anda

Alergi susu (dikenali sebagai alahan tenusu atau alahan susu lembu) adalah tindak balas imun terhadap protein dalam susu lembu. Protein yang dipanggil kasein (αs1-, αs2-, β- dan κ-) dan protein whey (dadih susu) (α-lactalbumin dan β-lactoglobulin) adalah alergen utama dalam susu. Ibu-ibu lain mungkin akan memberi cadangan untuk menukarkan susu anak kepada susu kambing.

Tetapi sebenarnya, badan anak itu masih boleh mengalami tindak balas yang sama dari mamalia lain, seperti kambing, biri-biri, kerbau dan unta, kerana mereka hampir sama. Ia adalah lebih baik kalau anak tidak minum produk susu haiwan jika mereka ada alahan susu lembu.

Alahan susu lebih kerap berlaku di kalangan bayi dan kanak-kanak

Sekurang-kurangnya 2.5% bayi di negara-negara maju mempunyai alahan susu. Kebanyakan bayi yang mempunyai alergi susu akan menunjukkan simptom dalam bulan pertama hidup dan selalunya dalam masa 1 minggu selepas susu formula lembu diperkenalkan. Kebanyakan kanak-kanak akan pulih dari alahan susu lembu sepenuhnya menjelang umur 4 tahun. Walau bagaimanapun, proses ini berlaku pada peringkat yang berbeza:

1 tahun: sehingga 50% daripada kanak-kanak pulih,
2 tahun: sehingga 75% daripada kanak-kanak pulih,
3 tahun: sehingga 90% daripada kanak-kanak pulih.
Dalam kes-kes tertentu, alahan susu boleh berterusan, tetapi jarang sehingga kanak-kanak itu dewasa.

Kira-kira 75% daripada kanak-kanak dengan alahan susu lembu boleh mengambil produk susu dalam mufin, kek atau roti, tanpa mengalami apa-apa masalah. Sebenarnya langkah menambahkan produk susu dalam kuantiti yang kecil boleh meningkatkan toleransi kanak-kanak terhadap produk susu biasa. 25% kanak-kanak lain yang mempunyai reaksi alahan yang lebih teruk mungkin perlu abaikan susu sepenuhnya untuk mengelak risiko anafilaksis teruk.

Simptom Alahan Susu

Biasanya bayi dengan alahan susu akan mengalami lebih daripada dua simptom pada dua sistem organnya:

  • gastrousus (cirit-birit, loya, muntah-muntah);
  • kulit (angioderma, dermatitis, ekzema, gatal-gatal);
  • pernafasan (asma, batuk, rinitis, berdehit).

Bayi boleh mengalamai simptom yang berbeza pada masa yang berlainan. Ini bergantung kepada jumlah susu atau produk susu yang telah dimakan dan keterukan alahan individu:

Reaksi segera selepas mengambil susu yang yang sedikit (beberapa minit hingga 2 jam):

  • Anafilaksis adalah reaksi paling teruk yang boleh mengancam nyawa. Pesakit akan diberi suntikan adrenalina.
  • sakit perut dan kekejangan
  • colic (bayi)
  • batuk
  • cirit-birit atau najis yang mengandungi darah
  • ekzema
  • ruam kulit gatal di sekeliling mulut
  • gatal-gatal
  • bengkak pada muka
  • muntah
  • mata berair dan hidung berair
  • berdehit

Rawatan

Tidak ada ubat yang boleh merawat alahan susu lembu, tetapi simptom-simptom dan reaksi alahan boleh dielakkan dengan tidak mengambil produk tenusu atau susu lembu. Ibu bapa perlu tahu perbezaan antara masalah alahan susu yang boleh mengancam nyawa dengan masalah intoleransi laktosa yang hanya menjejaskan sistem penghadaman.

Intoleransi makanan tidak sama seperti alahan kerana ia tidak melibatkan sistem imun tubuh. Kalau ibu bapa kurang pasti anak mempunyai alahan protein susu atau intoleransi makanan, dapatkan pengesahan dari doktor pakar, dan dapatkan panduan untuk tukar ke formula lain yang lebih sesuai.

Sumber: AsianParent, Nutrition Mythbusters, Dr. Zubaidi, Allergy UK 

Comments

comments

Reply