Bahaya Bayi 0 Hingga 6 Bulan Diberi Minum Air Kosong

Selain daripada susu (baik susu badan ataupun susu formula), bayi dari umur 0-6 bulan tidak memerlukan makanan atau minuman tambahan.

Ini kerana semua zat dan nutrisi bagi bayi pada usia ini mencukupi sekiranya susu diberikan dengan betul.

Maksud betul itu, bagi bayi yang diberikan susu formula, setiap bancuhan susu itu mestilah mengikut sukatan yang telah dinyatakan dalam tin atau kotak susu berkenaan. Sebenarnya banyak kes-kes telah dirujuk ke hospital di mana bayi mengalami kekeringan atau dehidrasi disebabkan kesilapan penjaga/ibu bapa dalam penyediaan susu.

Dalam kes-kes yang teruk, bayi boleh mengalami sawan dan koma disebabkan gangguan dalam sistem badan bayi di mana bayi mendapat kekurangan zat dan garam galian (elektrolit) seperti Sodium/Potassium/Gula.

Walaupun begitu, sekiranya ibu berkenaan bercadang untuk memberikan susu ibu sepenuhnya, masalah di atas tidak akan berlaku. Dan atas sebab di ataslah, jika boleh dicadangkan semua ibu-ibu memberi susu badan kepada bayi sejajar dengan ajaran Islam.

Sementara itu, menurut kajian AAP( American Academic Paediatrics) telah mengeluarkan kenyataan bahawa bagi bayi yang berumur kurang daripada 6 bulan, pemberian air kosong adalah tidak digalakkan dan boleh membahayakan kesihatan dan nyawa bayi tersebut, terutamanya jika bayi berumur serendah 4-5 minggu.

Ada beberapa keburukan pemberian air kosong ini, antaranya adalah:

a) Bayi yang diberikan air kosong akan menyebabkan perut bayi penuh dan tiada selera untuk minum susu lagi. Oleh kerana air kosong tiada nilai kalori yang tinggi seperti susu, bayi akan terbantut pembesaran ataupun tiada peningkatan berat badan.

b) Bayi juga akan kerap tidur dan waktu optima penyusuan bayi dengan ibunya akan berkurangan dan ini akan menyebabkan pengeluaran susu badan ibu akan kurang dan ibu terpaksa memberikan susu formula kepada bayi untuk mengantikan susu badan yang semakin kering atau berkurangan.

c) ‘Oral water intoxication’ adalah satu penyakit di mana badan mengalami kekurangan garam disebabkan bayi minum terlalu banyak air kosong. Ini akan mencairkan darah dan dalam masa yang sama juga akan mengurangkan paras garam ke paras yang kritikal dan menyebabkan bayi mengalami sawan, koma, kecederaan otak dan jika tidak dikesan awal akan menyebabkan kematian.

Walaubagaimanapun, adalah dibenarkan bagi bayi berusia lebih daripada 6 bulan untuk diberikan air kosong sekadarnya (bukan berlebih-lebihan) dalam sudu ataupun cawan kecil untuk membersihkan kesan susu di lidah bayi tersebut.

Sumber: Dr Azhar Mahmud (doktorbudak.com)

Comments

comments

Reply