“Anak Autisme Mencabar Kita, Tapi Keindahan Itu Akan Nampak Dalam Membesarkan Mereka” – Zarina Zainuddin

Zarina Zainuddin tidak pernah kekok bercerita mengenai pengalamannya sebagai ibu kepada dua anak autisme. Dia juga tidak malu memiliki anak-anak istimewa ini. Namun setiap kali bercerita mengenai anaknya, Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, hatinya akan sayu.

Dalam usia 21 tahun, sepatutnya Azil dan Azal sudah mampu hidup berdikari sama seperti remaja seusia mereka. Namun akibat autisme, kedua remaja lelaki ini masih memerlukan perhatian dan penjagaan sepenuhnya daripada kedua ibu bapa mereka.

Kongsi Pengalamananak autisme, anak zarina zainuddin, anak istimewa, anak OKU, Azil dan Azal,

Bercerita mengenai dua anak terunanya itu, kelihatan Zarina menahan sebak. Sesekali matanya kelihatan berkaca dengan air mata.“ Sebenarnya Allah bagi kita rezeki dengan mengurniakan anak-anak sebegini. Ini adalah cara untuk kita lebih dekat diri dengan Allah. Tanpa kita sedari anak-anak ini mendekatkan kita dengan Allah.

“ Anak-anak ini mencabar kita. Apabila mereka mencabar kita, apa yang boleh buat adalah perlu bersabar. Kesabaran itulah yang akan membuatkan kita dapat pahala. Nasihat saya kepada mereka yang ada anak-anak begini, jangan takut kerana ada jalan untuk mereka.

“Keindahan itu akan nampak apabila kita membela anak-anak istimewa ini. Indah sebab kita jadi sabar dan redha. Budak-budak begini kalau kita tengok mata mereka pun kita dapat lihat betapa tidak bersalahnya mereka,” ulas Zarina yang turut menjelaskan bahawa autisme adalah sindrom, apabila anak mengalami masalah kurang oksigen dalam otak semasa dilahirkan.

Sukar Kawal Emosi Anak

anak autisme, anak zarina zainuddin, anak istimewa, anak OKU, Azil dan Azal,

“ Perkembangan anak agak terbantut. Pemikirannya tidak seperti kanak-kanak yang sama usia dengan mereka. Terdapat pelbagai jenis kategori austisme. Ada yang ringan dan ada yang teruk. Anak-anak saya mengalami kedua-duanya. Azal dalam kategori mild (ringan) manakala abangnya Azil dalam kategori severe ( teruk ). Tetapi kadangkala Azal akan mengalami tantrum dan dia akan menjadi hiper sehingga membuatkan emosinya tidak stabil.

“ Hendak mengawal emosi mereka itu agak sukar kerana mereka itu kembar. Apabila abangnya mengamuk, yang adik juga kadangkala akan terikut-ikut sekali. Sebaiknya kalau di rumah kalau saya tidak menjalani penggambaran, saya akan beri Azal keluar.Memang saya takut membenarkan Azal keluar bersendirian. Mula-mula dahulu saya akan ikut dari belakang. Saya ingat lagi, dia berjalan kaki di tepi jalan sambil membawa payung. Saya akan bawa kereta dan ikut dia dari belakang secara perlahan-lahan. Dari situ saya akan tahu di mana tempat dia berhenti.

“ Namun begitu saya akan pastikan Azal membawa telefon kerana mudah untuk kami berhubung jika ada apa-apa yang berlaku. Saya juga akan pastikan dia ada duit di dalam tangan agar dia boleh makan dan beli barang yang dia mahu. Supaya dia tidak meminta daripada orang lain.Azal boleh bawa diri. Saya ajar dia berdikari. Manakala Azil memang tidak boleh berdikari sangat. Dia perlu ada saya di sisinya. Jika saya bawa dia keluar, tantrumnya akan menjadi teruk. Dia boleh mengamuk di tempat awam kerana dia tidak boleh bercakap langsung. Apabila dia tidak boleh cakap, dia jadi stres dengan situasi dia itu.

Pernah Marah

“ Dia marah apabila orang tegur kerana orang tidak faham apa dia hendak. Bila dia hendak melepaskan perasaan marah itu dia akan mengamuk. Bila mengamuk dia akan pecahkan TV dan sepahkan barang. Sebenarnya apa yang dibuatnya itu kerana mahu mendapatkan perhatian. Bila Azil buat begitu, ia membuatkan saya akan fokus pada dia. Jadi bila dalam keadaan begitu, adik-adiknya yang lain terutamanya yang bongsu tidak akan faham. Adiknya akan mengadu dan menganggap saya melebih-lebihkan abangnya Azil.

Pernah dia orang kata, “ apa sahaja Azil buat tidak apa. Azil pukul ibu pun tidak mengapalah ya.” Sebenarnya ada ketikanya apabila Azil pukul saya, mereka akan terkam dan pukul abang mereka itu. Saya pesan pada mereka agar jangan pukul abang kerana dia tidak tahu apa yang dia sedang lakukan.” Tambah Zarina.

Diserang oleh Azil adalah perkara biasa dalam hidup Zarina. Walau perit, Zarina perlu menghadapinya dengan penuh ketabahan.“ Macam-macam netizen cakap apabila mendapat tahu Azil memukul saya. Ada yang kata saya tidak tahu jaga anak. Ada juga

yang minta saya bawa anak berubat dengan bomoh. Tahukah mereka ini semua bukan boleh diubat oleh bomoh.

“ Ini adalah masalah emosi. Apabila emosi tidak stabil dan dia tidak boleh bercakap, bagaimana dia mahu meluahkan perasaannya? Tentulah cara dia mengamuk dan marah. Jadi marah dia pun setakat mana. Apabila penat dia berhenti.

“ Sebagai ibu, kita lah perlu kawal benda-benda itu supaya tidak mencederakan dirinya. Masalahnya sekarang, dia akan buat benda itu dan pukul dirinya sampai berdarah. Apabila melihat keadaan tersebut, kita yang jadi sakit. Kita peluk, dia akan cakar dan tolak kita. Sudah berapa kali saya terseliuh dan sebagainya. Tetapi bagi saya, mana-mana ibu yang ada anak autisme, akan menghadapi benda yang sama. Bersabarlah. Hendak buat macam mana lagi,” ulas Zarina lagi.

Tidak Dapat Elak Tantrum Anak-Anak

anak autisme, anak zarina zainuddin, anak istimewa, anak OKU, Azil dan Azal, Setiap kali Zarina membawa kedua-dua anak kembarnya ini di khalayak ramai, ada sahaja pandangan negatif yang diterimanya. “Ada yang tidak selesa melihat saya dan anak-anak. Kadang-kadang apabila kita duduk satu meja dengan anak-anak, orang di sebelah akan lari berpindah ke meja lain takut anak saya menyerang anak mereka. Saya faham dengan situasi tersebut. Apa yang saya buat adalah bawa diri dan keluar dari restoran itu dan cari restoran lain. Situasi sebegitu jugalah yang membuatkan saya tidak akan membiarkan anak-anak di rumah.

“ Memang kadang-kadang ada ibu yang tidak beri anak begini keluar kerana takut orang buat mereka begitu. Tetapi sebenarnya tidak boleh biarkan anak kita begitu. Kasihan dia. Takkanlah kita nak biarkan dia jadi seperti katak di bawah tempurung. Duduk sahaja di rumah dan tidak tahu apa yang berlaku di luar.

“ Kita mahu dia explore benda di luar. Saya sedar apabila di dalam kereta, anak saya itu seronok untuk melihat keadaan sekeliling. Saya bawa mereka pergi tengok wayang. Kalau tengok wayang, dia akan keluar masuk panggung. Sebab itu juga saya akan ambil tempat di bahagian atas yang tidak ada orang agar mudah dia keluar untuk berjalan.

Tak Galak Ambil Ubat Penenang

“ Sebenarnya kita perlu buat benda begini untuk mengajar dia. Saya tidak boleh mengelak tantrum kerana ia akan berterusan sampai bila-bila. Saya tidak galakkan anak mengambil ubat penenang. Ubat penenang ini menenangkan dia seketika sahaja. Doktor suruh Azil makan ubat pada waktu pagi dan malam. Tetapi saya bagi sikit sahaja pada waktu malam. Saya ingat lagi apabila Azil mengamuk, Azal akan beri dia makan ubat. Saya akan beritahu dia jangan bagi Azil makan ubat. Kasihan dia sebab selepas makan ubat Azil akan jadi lemah. Saya beritahu Azal untuk cuba makan ubat itu sendiri. Azal dan saya pernah makan ubat itu sebiji seorang.

Kesannya kami berdua ‘collapsed’ setelah makan ubat itu. Barulah saya tahu ubat itu kuat. Sebab itu saya bagi separuh sahaja ubat itu kepadanya agar dia mudah tidur pada waktu malam.” Cerita Zarina lagi.

Walau kembar seiras namun terdapat perbezaan antara keduanya. Ini diakui oleh Zarina.

“ Beza Azal dan Azil mudah sahaja. Azal boleh bercakap dan kita tidak perlu ajar dia apa benda yang boleh buat dan benda yang tidak boleh buat. Azil pula seorang yang susah hendak ditegur. Dan Azil juga tidak boleh orang marah pada dia. Jika orang marah, dia akan pukul dirinya sendiri.” Tambahnya.

Tip Mendidik Anak Autismeanak autisme, anak zarina zainuddin, anak istimewa, anak OKU, Azil dan Azal, Bagi ibu bapa yang baru mengetahui anak yang dimiliki mengalami masalah autisme, bolehlah mengikut tip yang diberikan oleh Zarina.“ Tip untuk mendidik anak autism adalah kita kena jadikan mereka kawan kita. Kita juga perlu selalu bercakap dengan mereka, dan bawa mereka keluar sebab anak autisme perlukan perhatian kita.

“ Cara yang saya buat lagi adalah mengajar mereka mengenai kebersihan diri. Mandi, gosok gigi, pakai deodoran, sikat rambut, pakai bedak, potong kuku. Benda-benda itu nampak remeh tetapi kita perlu ajar sebab mereka tidak akan tahu kalau tidak diajar. Mereka akan biarkan diri mereka begitu sahaja,” kongsi Zarina lagi.

Tidak pernah sekali pun ada dalam fikiran Zarina siapakah yang akan menjaga anak-anak autismenya ini apabila dia dan suami sudah tidak ada di dunia ini lagi.

“ Jangan fikir begitu. Allah akan utuskan seseorang yang lebih baik untuk mereka. Jangan risau. Mula-mula dahulu memang saya ada terfikir siapalah yang hendak jaga mereka. Lama-kelamaan saya sedar yang Allah itu Maha Besar. Ada jalannya nanti.

“ Cuma apa yang perlu kita ajar sekarang pada mereka adalah dapat belajar berdikari dan menguruskan diri sendiri. Dan kita perlu ada tabungan buat mereka. Tabungan itu penting kerana apabila ada duit ada orang akan jaga mereka.

“ Duit bukan segala-galanya tetapi duit boleh membantu untuk mereka pada suatu ketika nanti. Sekarang ini saya sudah mula menyimpan duit untuk anak-anak. Sekurang-kurangnya mereka ada simpanan. Perancangan dari segi simpanan wang itu sudah ada sebab nasib mereka pada masa hadapan kita itu kita tidak tahu.

“ Kalau boleh saya harap dapat mati bersama-sama dengan mereka. Tetapi ajal maut itu Tuhan yang tentukan. Bagi saya kalau mereka pergi dahulu, sedih itu memang sedih. Tetapi sedih itu seketika. Tetapi kalau saya yang pergi dahulu, rasanya sedih itu berpanjangan. Rasanya tidak ada orang yang boleh jaga mereka seperti mana yang saya jaga. Tetapi jangan risau sebab Allah itu Maha Kuasa, Allah Maha Mengetahui dan Dia akan menolong hamba-hambanya yang ada masalah seperti anak saya ini. Insya-Allah ada jalannya untuk mereka.

Paling penting sokongan keluarga, jangan ketepikan anak-anak sebegini,” ujar Zarina pasrah.

Sumber: Mingguan Wanita

Comments

comments

Reply