no comments

8 Tip Elakkan Pusat Bayi Bernanah, Ibu Bapa Jangan Lalai Buruk Akibatnya

Tali pusat (umbilical cord) adalah struktur penting dalam hubungan fizikal antara anak dan ibunya. Seorang anak menerima nutrien dan oksigen melalui uri (placenta) yang terlekat pada dinding dalam rahem. Uri disambungkan kepada bayi melalui satu bukaan pada abdomen bayi melalui tali pusat.

Itulah perlambangan hubungan erat antara ibu dan anak. Apabila telah melahirkan, seorang ibu harus terus memberikan perhatian terhadap hubungan fizikal ini. Jika tidak bayi yang baru dilahirkan itu akan menghadapi pelbagai masalah kesihatan.

”Doktor, bila tali pusat anak saya akan tanggal?”

Tali pusat yang panjang akan terus menghubungkan bayi dan uri setelah dilahirkan. Penggantungan terhadap tali pusat dan uri untuk mendapat nutrien dan oksigen telah terhenti. Maka ia harus dibuang. Caranya bukan dengan dicabut, tetapi dengan ‘tertib semulajadi’.

Adakah antara kita yang mencabut talipusat anak? Jika ia dilakukan, akan menyebabkan pendarahan pada bayi dan bayi akan mati kerana kehilangan darah yang banyak.

Oleh itu, setelah dilahirkan, tali pusat akan diikat dan dipotong dan meninggalkan bakinya yang dinamakan (umbilical stump) sepanjang 2-3cm.

Pada kebiasaannya, baki tali pusat akan gugur selepas 3-4 hari, namun ada yang lebih lambat sehingga tujuh hari. Mulanya ia mengecut, menjadi hitam dan kemudiannya tanggal. Mungkin terdapat sedikit luka selepas baki talipusat itu tanggal tapi ia akan pulih dengan sendirinya. Tidak perlu meletakkan sebarang ubat (termasuk minyak gamat). Kebersihan pada pusat yang baru terbentuk itu yang menjadi keutamaan.

Saya berpengalaman melihat baki tali pusat yang dijangkiti kuman kerana tidak dijaga dengan baik. Ia kelihatan kotor dan bernanah. Saya amat simpati dengan bayi itu.

Bayi yang dibawa kepada saya itu sedang demam, lesu dan tidak mahu menyusu. Bayi itu kelihatan betul-betul lemah. Kawasan di sekitar baki tali pusat itu bengkak dan berwarna merah.

”Apa yang terjadi ni?”

”Kami pun pun tak tahulah doktor. Sudah tiga hari tali pusat yang tinggal ini berbau. Kami datang ini sebab tak tahan baulah”

Kasihan bayi ini. Saya menggeleng-geleng kepala. Agaknya kalau hidung kedua ibubapa tersumbat dan tidak dapat menghidu bau, mungkin bayi ini mati akibat septicaemia.

Septicaemia berlaku apabila jangkitan kuman di satu tempat telah memasuki ke dalam tubuh. Ia bergerak ke seluruh tubuh melalui saluran darah. Ini mengakibatkan organ utama seperti buah pinggang, jantung, paru-paru dan otak akan gagal berfungsi. Akhirnya akan menyebabkan kematian.

Saya nasihatkan jika baki tali pusat ini kelihatan kotor, bertanyalah pada bidan terlatih di Pusat Kesihatan, bagaimana cara membersihkannya. Ibubapa atau penjaga haruslah memastikan baki tali pusat bersih dan kering untuk mengelakkan jangkitan kuman. Inilah tanggungjawab mereka. Bukannya doktor atau jururawat di Pusat Kesihatan.

”Kalau macam itu, doktor sajalah mengajarkan saya..”

Mungkin ramai ibu bapa yang tidak sedar bahawa ketika memakaikan lampin, mereka perlu memastikan lampin itu tidak membaluti baki tali pusat. Biarkan baki tali pusat terdedah kepada udara dan cepat kering. Lampin harus berada di bahagian bawah talipusat. Ini juga mengurangkan risiko air kencing di lampin membasahi baki tali pusat itu.

”Bolehkah saya memandikan anak saya?”

Bayi yang belum tanggal baki tali pusatnya tidak perlu dimandikan. Ini mengelakkan baki tali pusat itu basah dan dijangkiti kuman. Badan bayi haruslah perlu dibersihkan dengan tuala basah. Bayi boleh dimandikan apabila baki tali pusat itu tanggal.

Selain itu, dalam cuaca yang panas, pakaikan bayi dengan pakaian yang longgar. Ini akan menggalakkan peredaran udara dalam bajunya dan akan menyebabkan baki tali pusat cepat kering. Jangan cuba menarik baki tali pusat dan biarkan ia tanggal sendiri.

“Bolehkah saya menyapu minyak gamat padanya?”

Saya sebenarnya tidak berapa pasti dengan keberkesanan minyak gamat pada baki tali pusat. Jadi saya tidak menghalang atau menggalakkannya.

Cuma saya lebih suka jika ibubapa membeli alcohol swab dari farmasi dan menggunakannya. Walaupun namanya alcohol, namun kandungan alkohol di dalamnya amat sedikit dan tidak boleh memabukkan. Jadi saya berpendapat ia bukanlah sesuatu yang najis.

Alcohol swab boleh disapukan di pangkal baki tali pusat apabila menukarkan lampin. Selain untuk menghindari kuman, ia juga mempercepatkan pengeringan.

Baki tali pusat biasanya akan tanggal selepas 3-4 hari. Ada kalanya ianya mengambil masa seminggu. Ia adalah perkara biasa. Setelah tanggal, pada bahagian yang ditinggalkan akan terdapat ’luka’. Bayi boleh dimandikan setelah baki tali pusat tanggal. Ia boleh dicuci dengan air suam atau dicampurkan sedikit sabun yang mempunyai pH 7 yang neutral. Kemudian lapkan dengan tuala supaya pusat itu menjadi kering.

Jika tiada tanda jangkitan kuman, tidak perlu menggunakan sebarang antiseptik atau minyak gamat kerana proses penyembuhannya akan mengambil masa yang lebih lama. Tetapi jika terdapat tanda jangkitan kuman, harus membersihkannya menggunakan air suam dan sapukan antiseptic pada pusat. Tanda-tanda jangkitan kuman ialah apabila pusat mengeluarkan nanah dan berbau busuk, maka haruslah dibawa berjumpa doktor.

Ikuti langkah-langkah ini sebagai panduan menguruskan tali pusat si kecil.

  1. Bersihkan bahagian ini setiap kali selepas mandi atau menukar lampin si manja. Dengan cara ini, anda akan membantu mengeringkan bahagian dasarnya dan mempercepatkan proses luruh.
  2. Ibu perlu memastikan tangan bersih semasa mencuci pusat bayi.
  3. Gunakan kapas bebola yang dibasahkan dengan air bersih atau alkohol yang dibekalkan hospital dan sapu dengan lembut pada pusat dan lipatannya.
  4. Selepas dibersihkan, ambil sebiji lagi bebola dan sapu kering bahagian sekeliling pusat yang dibersihkan tadi.
  5. Baki tali pusat yang di klip juga perlu sentiasa kering. Keringkan dahulu sebelum memakai barut. Jika lembap, boleh menyebabkan jangkitan kuman.
  6. Elakkan memakai lampin hingga menutup bahagian pusat bayi yang belum luruh kerana ia akan menyebabkannya berkuap, lembap dan meningkatkan risiko jangkitan kuman. Kawasan tersebut perlulah sentiasa kering dan bersih sepanjang masa.
  7. Biasanya tali pusat bayi akan luruh dalam masa tujuh hingga 10 hari selepas kelahirannya. Jangan dicabut, biar ia tanggal sendiri!
  8. Sebelum tali pusat bayi luruh, mama dan papa perlu mengelakkan dari memandikan bayi dengan cara merendam. Gunakan kaedah mengelap dan melalukan air sahaja supaya air tidak masuk ke dalam bahagian berkenaan.

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan kongsikan pada bakal ibu bapa.

Kredit: Dr. Zubaidi

Comments

comments