no comments

8 Jenis Makanan Yang Boleh Tambah Selera Makan Anak

“Eh, anak kau kenapa kurus? Kau tak bagi makan ke?”

Ibu mana yang tak risau bila anak kurang makan? Lebih-lebih lagi bila ada saudara mara tegur tentang saiz badan anak yang kurus. Dah macam-macam resipi dicuba. Tapi masih juga tiada perubahan. Namun, tahukah anda, salah satu penyebab anak kurang makan adalah kerana mempunyai sistem penghadaman yang kurang efektif.

Di sini kami senaraikan 8 bahan semulajadi yang mempunyai fungsi untuk memperbaiki sistem penghadaman dan seterusnya menambah selera makan anak-anak.

1. Anggur
Buah anggur memiliki zat asidik yang membantu tubuh badan mencernakan makanan dengan baik. Ia dikatakan dapat meningkatkan rasa lapar dan sekaligus menaikkan selera makan. Beli anggur yang pelbagai warna dan saiz supaya anak-anak lebih berminat untuk mencubanya.

2. Epal
Seperti anggur, epal juga mempunyai kandungan zat yang hampir sama dalam membantu fungsi penghadaman agar lebih efektif. Kisarkan epal dan jadikannya sebagai jus atau ‘smoothie‘ jika anak anda lebih suka memakan makanan jenis pencuci mulut. Kadang-kadang anak yang tak suka makan ni boleh dipujuk dengan minuman, betul tak?

3. Tomato
Sesetengah sayuran seperti tomato juga mempunyai kuasa untuk mengembalikan selera makan. Tambahkan tomato segar dalam makanan yang mungkin diminati oleh anak-anak seperti pizza, spageti, atau apa jua hidangan yang boleh dinikmati bersama nasi. Kalau anak-anak suka memakannya begitu saja, tentulah lebih baik.

4. Banana Milkshake
Gabungan pisang dan susu ini amat berkesan untuk memacu selera makan. Ia mengandungi enzim-enzim perncernaan yang menjadikan tubuh lebih efektif untuk memproses makanan. Jadi, badan akan bersedia untuk menerima lebih lagi makanan selepas mengambilnya. Untuk hasil yang lebih berkesan, tambahkan sedikit halia, madu, dan jus lemon.

5. Snek Makanan Kering
Seelok-eloknya, perkenalkan snek berkhasiat yang boleh diambil di antara waktu makan. Buah-buahan kering tanpa gula atau garam berlebihan seperti kismis, kurma, buah tin, kacang badam, walnut dan pistachio, adalah antara snek yang sangat bermanfaat untuk tubuh badan. Selain itu, pengambilannya secara kerap turut mampu menambah selera makan.

6. Halia
Halia mengandungi sejenis cecair yang mampu mempertingkatkan fungsi penghadaman. Ia juga membantu membuang gas dalam badan yang dihasilkan semasa proses penghadaman. Oleh kerana rasanya yang agak pahit dan pedas, cara paling mudah untuk diberikan kepada anak ialah dengan memasukkan hirisan kecil dalam masakan anda.

Dalam kuantiti yang sedikit, ia mampu menaikkan rasa dan menjadikan makanan seperti sup dan bubur ayam lebih beraroma. Anda juga boleh membuat pes semulajadi dengan gabungan halia, lada hitam, dan jus lemon. Pes ini diadun dan diambil semasa perut kosong setiap hari. InsyaAllah, anda akan dapat melihat kesannya dalam masa 15 hari.

7. Lada Hitam
Beberapa jenis herba lain turut memiliki manfaat yang sema dengan halia dalam membantu proses pencernaan. Lada hitam adalah salah satu daripadanya. Ia membantu usus untuk membuang ‘angin’ yang menjadi penyebab anak kurang makan. Sesuai juga dimasukkan dalam sup selain boleh digunakan sebagai perasa untuk memanggang atau menggoreng. Tambahkan dalam ‘garlic bread‘ pun sedap.

8. Kayu Manis
Herba kayu manis bukan saja boleh ditambah pada makanan berlauk, ia turut memberi kesedapan dalam kuih, roti, kek, minuman, serta banyak lagi pencuci mulut. Selain kayu manis, kebanyakan herba dan sayuran lain yang berasa pahit seperti halba, peria, buah tunjuk langit membantu hempedu penghasilan jus pencernaan dalam badan.

Jangan Mengalah

Anak kurang makan tidak bermaksud dia tidak normal. Mungkin tubuh badannya sudah memenuhi keperluannya.  Atau, mungkin juga anak anda baru ber’cerai susu’ dan dalam proses mengenali makanan tersebut.

Jadi, layankan dahulu karenah mereka sementara mereka belajar menyukai makanan. Di samping itu, perlulah sentiasa konsisten dan jangan berputus asa, memang sukar berhadapan dengan anak sebegini. Cuba dapatkan sokongan daripada pasangan anda. Kalau tak larat masak, gilirkan dengan makanan yang dibeli.

Namun, perhatikan tanda-tanda yang membimbangkan seperti sembelit, sakit perut, mudah terkena demam, batuk, atau selsema.

Comments

comments