no comments

Inilah 10 Adab Ibu Bapa Mesti Ajar Anak Kecil Supaya Membesar Jadi ‘Orang’

Anak-anak perlu mengamalkan adab-adab yang baik bukan hanya kepada ibu bapa, tetapi juga kepada sesiapa saja, termasuklah segala perkara di sekeliling mereka. Walaupun ia tidak berunsur akademik, nilai kesopanan ini adalah tunjang kejayaan anak-anak pada masa hadapan.

Selain mengucapkan “Terima Kasih” dan “Tolong”, ada banyak cara mendidik anak kecil yang diterapkan supaya timbulnya rasa hormat, simpati, dan bijak menjaga tata tertib.

Berikut adalah cara mendidik anak kecil agar mereka membesar menjadi orang yang berbudi pekerti.ajar adab anak kecil, ajar anak tentang adab sedari kecil, anak kecil diajar adab terlebih dahulu, ajar anak adab dengan orang lebih tua, ajar anak hormati orang tua, ajar anak hormati orang lain

1. ELAK MEMPERKATAKAN TENTANG PENAMPILAN DAN RUPA FIZIKAL SESEORANG

Sentiasa ingatkan anak supaya tidak mengejek penampilan atau rupa fizikal seseorang. Didik anda untuk menilai orang dengan budi pekertinya, dengan kelebihannya. Jangan jadikan paras rupa sebagai ukuran untuk menilai seseorang.

Ucapkan kata-kata yang baik kepada orang tersebut kerana semua orang yang diciptakan Allah adalah cantik.

2. ‘MENCELAH’ PERBUALAN ORANG DEWASA HANYA APABILA PERLU

Latih anak untuk berkata “maafkan saya,” apabila terpaksa mencelah ibu bapa atau orang dewasa yang sedang berbual untuk menanyakan sesuatu.

Jika bukannya sesuatu yang penting, ajarkan mereka supaya menunggu sehingga orang dewasa habis bercakap.

3. MENGETUK PINTU DAN MEMINTA IZIN

Anak kecil perlu faham kepentingan meminta izin terutamanya ketika mahu menggunakan atau mengambil sesuatu yang bukan milik mereka.

Sejak kecil, mereka sepatutnya sudah diajar agar menghormati privasi ibu bapa. Perbuatan mengetuk pintu dan minta izin sebelum mereka masuk ke dalam bilik ibu bapa adalah disyariatkan dalam Islam.

Seperti diterangkan dalam Al-Quran, surah An-Nur ayat 58 yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba kamu dan orang yang belum baligh dari kalangan kamu meminta izin (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya…”).

4. MENGHARGAI SETIAP PEMBERIAN

Terapkan kepentingan nilai penghargaan kepada anak. Walaupun sekecil-kecil hadiah atau pemberian, fahamkan mereka betapa seseorang telah berusaha dengan niat yang baik untuk mendapatkannya untuk kita.

Jangan sesekali memperlekehkan atau menunjukkan mimik muka apabila pemberian tersebut bukanlah sesuatu yang mereka harap-harapkan.

5. MENJAGA KEBERSIHAN DIRI

Berikan anak didikan dalam kebersihan diri masing-masing. Ajar mereka untuk menutup mulut ketika bersin atau batuk, jangan korek hidung dan sentiasa gunakan tisu. Ia bukan saja amalan yang buruk, tetapi boleh menyebarkan penyakit berjangkit.

Ucapkan “Alhamdulillah” sesudah bersin, dan katakan “Yarhamkallah” ketika mendengar orang bersin. Tunjukkan kepada anak cara untuk membersihkan diri selepas bermain dan selepas makan. Ajarkan juga anak supaya membersihkan diri sebelum beribadah.ajar adab anak kecil, ajar anak tentang adab sedari kecil, anak kecil diajar adab terlebih dahulu, ajar anak adab dengan orang lebih tua, ajar anak hormati orang tua, ajar anak hormati orang lain

6. LETAK DULU GAJET SEMASA BERCAKAP DENGAN ORANG

Latih mereka untuk memberikan respon dengan sopan apabila orang mengajukan soalan kepadanya. Pandang wajah seseorang apabila bercakap dengan mereka.

Jangan biarkan mereka asyik mengasingkan diri dan sibuk dengan gajet apabila berada dalam majlis tertentu. Sebaliknya, cuba beramah-mesra dengan kenalan dan ahli keluarga. Bukan selalu dapat jumpa, bukan?

7. ADAB DI MEJA MAKAN

Bersyukur dengan apa yang dihidangkan dan elakkan menghina makanan. Biar mereka rasa dahulu apa yang dihidangkan dan jangan terus membuat hidangan ‘istimewa’ semata-mata mereka menolak untuk makan makanan tersebut. Tabiat ini boleh menjadikan mereka seorang yang memilih makanan atau ‘picky eater’.

Setelah membaca doa, ambil makanan yang dekat terlebih dahulu. Jangan ambil makanan secara berlebihan tanpa memikirkan orang lain.

8. BELAJAR URUS DIRI SENDIRI TANPA MENGHARAPKAN ORANG LAIN

Biasakan anak-anak untuk menguruskan diri sendiri seperti menyiapkan pakaian sekolah, menyimpan beg, mengemas bilik tidur, dan sebagainya.

Walaupun anda mempunyai pembantu rumah, semua kemahiran mengurus diri ini tidak patut diserahkan kepada pembantu tersebut. Sebaliknya, ianya amat penting untuk anak-anak melakukannya sendiri supaya dapat melatih mereka membesar sebagai seorang yang berakhlak mulia, bijak mengurus diri dan tidak menyusahkan orang lain.

9. MENJAGA PERSEKITARAN

Ingatkan anak supaya sentiasa menjaga kebersihan dan jangan membuang sampah merata-rata. Jika tiada tong sampah, simpan dahulu sampah di dalam poket atau plastik. Tegaskan kepada mereka bagaimana sampah-sarap boleh menjadi punca kepada pelbagai penyakit dan pembiakan haiwan perosak.

Tabiat ini memang ‘menyakitkan mata’, lebih-lebih lagi mereka yang suka membuang sampah keluar dari kenderaan!

10. MENYAYANGI HAIWAN

Seperkara lagi, jangan dihina kucing-kucing jalanan, tetapi tunjukkanlah contoh yang baik dengan memberi mereka makanan. Jika tidak, cukuplah kita sekadar mengucapkan perkataan yang baik dan tidak mengasari haiwan tersebut sesuka hati.

“PELAJARI DAHULU ADAB SEBELUM ILMU”

Dalam Islam, pendidikan adab yang merupakan tanggung jawab utama ibu bapa yang sepatutnya telah dibiasakan sejak kecil lagi. Malah, sebahagian besar ulama menekankan bahawa pendidikan adab kepada anak hendaknya didahulukan berbanding ilmu.

Cara mendidik anak kecil dengan adab dan akhlak yang baik bukanlah perkara yang mudah. Oleh itu ia perlu diterapkan seawal usia kerana pergaulan anak terhadap persekitaran akan turut mempengaruhi kelakuannya. Maka, sekiranya asasnya tidak utuh, anak pun senang terikut-ikut dengan perbuatan orang lain yang tidak sepatutnya.

Imam Malik pernah berkata, “Dulu ibuku menyuruhku untuk menuntut ilmu daripada seorang guru di kota Madinah. Ibuku berkata,“Pelajarilah adab darinya sebelum mengambil ilmunya.”

Comments

comments